Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara (MUZAKARAH11) merupakan program tahunan anjuran Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA). Pada tahun ini, MUZAKARAH11 akan diadakan pada 16-17 May 2017 di Kuala Lumpur dengan tema “Pasca Piawaian Syariah BNM: Antara Ideal Dan Realiti”. Ia bertujuan menghimpunkan para alim ulama, penasihat syariah, tokoh akademik, pengamal industri serta pihak yang terlibat dalam industri kewangan Islam di rantau Nusantara yang melibatkan negara Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand. Ia juga bertujuan mewujudkan kerjasama dan persefahaman yang erat secara berterusan di kalangan cendekiawan Syariah Nusantara berhubung hal ehwal kewangan Islam.

Adalah menjadi harapan pihak ISRA agar MUZAKARAH11 terus berfungsi sebagai wadah bagi para cendekiawan Syariah dan semua pihak yang terlibat dengan kewangan Islam di Nusantara untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakaran masing-masing bagi tujuan mencapai satu persepakatan dalam mewujudkan resolusi bersama di akhir Muzakarah. Moga dengan persepakatan tersebut dapat mengukuhkan dan mengembangkan lagi kewangan Islam di rantau Nusantara.

Kewangan Islam merupakan sistem kewangan yang berlandaskan undang-undang Islam yang lahir dari kesedaran umat Islam terhadap keperluan mewujudkan sistem alternatif yang patuh Syariah. Dalam memperkasakan industri kewangan Islam, pelbagai isu dan cabaran dihadapi oleh pihak institusi kewangan Islam di rantau Nusantara terutama dalam memastikan semua produk yang ditawarkan mematuhi kehendak Syariah. Justeru, satu kerangka tadbir urus Syariah yang komprehensif menjadi suatu tuntutan dan amat perlu dikuatkuasakan di setiap negara di rantau Nusantara khususnya dan di peringkat global secara amnya. Dalam hal ini, Malaysia mengambil langkah proaktif dan terkehadapan dengan menguatkuasakan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (APKI) 2013 yang telah menjadi asas perundangan sistem kewangan Islam moden di negara ini. Menurut Seksyen 29 APKI 2013, Bank Negara Malaysia (BNM) diberi kuasa dan mandat untuk membangun piawaian Syariah bagi kontrak-kontrak serta konsep Syariah utama yang digunapakai dalam menstruktur produk kewangan Islam. Piawaian Syariah ini bermatlamat untuk menggalakkan amalan ketelusan dan keseragaman dalam aplikasi kontrak Syariah serta menjadikannya sebagai panduan yang penting bagi setiap institusi kewangan Islam di Malaysia.

Selari dengan tema MUZAKARAH11, maka perbincangan pada hari pertama akan berkisar tentang isu penggabungan kontrak jual beli dengan kontrak pinjaman (al-bay` wa al-salaf). Topik ini akan dikupas dari perspektif fiqah dan juga dari aspek praktis semasa dalam kewangan Islam. Perbincangan ini diharapkan dapat membantu dalam merangka satu kesimpulan yang jelas mengenai asas atau `illah kepada larangan penggabungan dua kontrak tersebut dan seterusnya untuk menilai samada praktis semasa berkaitan elemen jual beli dan pinjaman dalam produk kewangan Islam menepati `illah berkenaan atau sebaliknya.

Sesi pada hari kedua membawa sedikit kelainan daripada rutin MUZAKARAH pada tahun-tahun sebelumnya dengan menampilkan pakar kewangan Islam yang terdiri daripada ulama Syariah, peguam dan pengamal industri untuk berkongsi maklumat dan pandangan dalam bentuk dialog berkaitan kontrak musyarakah. Sesi dialog pertama akan melibatkan perkongsian pengalaman ahli-ahli panel dalam mengaplikasi kontrak musyarakah dalam produk kewangan Islam, manakala dalam sesi dialog kedua, ahli-ahli panel akan berkongsi pandangan tentang isu dan cabaran dalam pelaksanaan musyarakah dalam kewangan Islam.

Akhir sekali, adalah diharapkan pembentangan, perbincangan, perbahasan dan perkongsian pengalaman yang diatur dalam MUZAKARAH11 nanti dapat membuahkan input-input yang bermanfaat kepada setiap peserta muzakarah dan menghasilkan solusi-solusi yang berguna dan praktikal untuk diaplikasikan dalam produk kewangan Islam.

Translate »