March 30, 2017

Ucapan Pembukaan Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Kali Ke-7

Ucapan Pembukaan

Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Kali Ke-7

di Fairmont Hotel, Singapura

29 Mei 2013

oleh Timbalan Gabenor – Muhammad bin Ibrahim

_____________________________________

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

1. Segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Ta`ala, selawat dan salamjunjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, juga kepada kaum keluarganya, para sahabatnya dan semua pengikutnya.

2. Yang berbahagia, Prof. Dr. Yaacob Ibrahim, Menteri Komunikasi dan Informasi dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Republik Singapura. Yang berbahagia Dr. Akram Laldin, Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (International Syariah Research Academy for Islamic Finance, ISRA), para cendekiawan Syariah, Tuan-tuan, Puan-puan dan para peserta muzakarah yang saya hormati sekalian.

3. Alhamdulillah, saya ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta`ala kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dipertemukan dalam majlis Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara kali Ke-tujuh pada tahun ini. Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur atas kesudian menjemput saya untuk menyampaikan ucapan di Muzakarah pada kali ini.

4.Sesungguhnya, penganjuran program-program sebegini merupakan wadah untuk menjana pemikiran bestari, merungkai apa jua kontroversi, menerokai variasi inovasi, meningkatkan tahap prestasi dan menyemai segala

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Kadar Pertumbuhan Kukuh Kewangan Islam di Peringkat Global

5. Mutakhir ini, dinamisme sektor kewangan Islam di peringkat global telah mengalami transformasi. Pada hari ini, dengan pertumbuhan aset kewangan Islam yang positif dalam lingkungan 15% sehingga 20%, kita dapat menyaksikan percambahan lebih daripada 600 buah institusi kewangan Islam yang beroperasi di 75 buah negara yang menawarkan pelbagai produk kewangan Islam. Menurut Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB), aset kewangan Islam dijangka telah mencecah angka USD1.6 trilion pada tahun 2012. Selain itu, pasaran sukuk juga kekal sebagai saluran pilihan bagi penjanaan dana di peringkat antarabangsa, melebihi USD290 bilion dengan terbitan dalam pelbagai matawang termasuklah dollar Amerika (USD), dollar Singapura (SGD) dan renminbi (RMB).

6. Pencapaian sektor kewangan Islam pada hari ini akan berkembang dengan lebih maju jika didorong oleh infrastruktur yang efektif seperti rangka kerja perundangan, percukaian, operasi terutamanya tadbir urus Syariah. Maka usaha yang berterusan ini telah menganjak sektor kewangan Islam dari sebuah komponen alternatif kepada sebuah komponen arus perdana serta kompetitif. Meskipun sektor kewangan lslam di peringkat global telah mula mencapai suatu tahap yang boleh dibanggakan, namun masih banyak usaha perlu dilakukan. Para cendekiawan Syariah boleh membantu dengan mempertingkatkan kerjasama serantau dalam bidang Syariah yang berupaya menjurus ekosistem kewangan Islam melintasi sempadan. Dengan kata lain, sistem kewangan Islam perlu berkembang dari bersifat ‘domestic-centric’ kepada ‘regional-centric’ dan seterusnya menglobalisasikannya secara menyeluruh.

Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara sebagai Wacana Interaksi

7. Antara tujuan asal dan utama penganjuran muzakarah ini ialah untuk memupuk persefahaman dan kerjasama erat di antara para cendekiawan Syariah dalam kalangan rumpun nusantara berkaitan isu-isu fiqh muamalat dan kewangan Islam. Melalui platform sebegini, cetusan idea dan pandangan baharu dalam kalangan ulama dapat dijana dalam suasana penuh toleransi dan hormat-menghormati walaupun mempunyai latar belakang berbeza budaya, ekonomi dan sosial.

8. Pada setiap tahun, melalui saluran muzakarah ini, para cendekiawan Syariah seluruh nusantara telah memberikan komitmen yang tinggi dalam membincangkan isu-isu semasa kewangan Islam. Interaksi secara aktif di kalangan cendekiawan Syariah telah menyemai kefahaman yang lebih mendalam terhadap beberapa konsep dan kontrak Syariah termasuklah bai` `inah, tawarruq, mudarabah, musyarakah, ijarah, wa`d dan sebagainya. Perbincangan ini tidak terbatas kepada pelaksanaan segala rukun dan syarat sahaja, bahkan segala isu operasi, perundangan dan pengurusan risiko turut dikupas dengan menyeluruh. Berdasarkan perkongsian kaedah dan amalan terbaik dari setiap negara, jawatankuasa muzakarah dari setiap negara akan bermuafakat mencari jalan penyelesaian untuk setiap permasalahan dengan pembentangan resolusi-resolusi di akhir muzakarah.

9. Sejak penganjuran Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara yang pertama pada tahun 2006, kefahaman terhadap ciri-ciri utama kontrak-kontrak Syariah telah banyak diselaraskan, isu-isu serta cabaran-cabaran telah disenaraikan dan sudut yang memerlukan kajian telah difokuskan. Langkah seterusnya sudah tentu dengan merealisasikan resolusi-resolusi muzakarah ke dalam acuan lanskap perundangan dan suasana setempat negara masing-masing. Sudah pastinya misi penting ini menuntut sumbangan yang lebih besar daripada para cendekiawan sekalian dalam memastikan pelaksanaan sentiasa selaras dengan kehendak Syariah.

10. Dalam hal ini, Malaysia telah mengambil pendekatan dengan memanfaatkan pengajaran dari muzakarah cendekiawan Syariah dalam formulasi perundangan baharunya iaitu Akta Undang-undang Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). IFSA membawa suatu perspektif baharu dengan menyediakan asas perundangan bagi rangka kerja pengawalseliaan kewangan Islam yang mencerminkan ciri-ciri khusus pelbagai jenis kontrak kewangan Syariah dengan profil risiko dan pulangan yang tersendiri. Ciri-ciri unik kontrak ini ditakrifkan dengan jelas dan menyeluruh, meliputi proses pemeteraian kontrak sehinggalah pembubaran sesebuah institusi kewangan Islam. Ini selaras dengan gagasan meningkatkan daya saing dan inovasi menerusi kepelbagaian kontrak Syariah yang digunapakai oleh institusi-institusi kewangan Islam.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Pematuhan Syariah Berdasarkan Piawaian Kontrak Syariah

11. Sesi perbincangan bersiri seperti hari ini memberikan perspektif yang lebih luas terhadap kepelbagaian spektrum kontrak-kontrak Syariah. Pada pendapat saya, penekanan yang lebih harus ditumpukan kepada aspek praktikal dan pelaksanaan operasi. Hal ini amatlah penting dalam meminimakan risiko perundangan dan seterusnya memantapkan lagi keyakinan awam ke atas kontrak Syariah.

12. Walaupun rangka perundangan sedia ada sudah kondusif dan fasilitatif dalam memastikan kelancaran pasaran kewangan Islam, hakikatnya sektor kewangan Islam terus berkembang dengan amat pesat dan ini memerlukan rangka perundangan yang futuristik. Kehendak pelanggan yang pelbagai dan sofistikated telah memacu inovasi, lantas menuntut pembaharuan yang berterusan dari semasa ke semasa. Selaras dengan tren pengantarabangsaan kewangan Islam, saya menjangka corak integrasi kewangan dan ekonomi global juga akan berkembang dengan pantas. Dan ini akan memberi kesan yang besar terhadap peranan yang dimainkan oleh cendekiawan Syariah.

13. Bank Negara Malaysia, dengan kerjasama Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) sedang menggandakan usaha ke arah penetapan piawaian Syariah bagi kontrak-kontrak Syariah yang diguna pakai dalam sektor kewangan Islam di Malaysia, antaranya murabahah, mudarabah, musyarakah, ijarah, wadi`ah, istisna`, kafalah, wakalah, wa`d, tawarruq, hibah dan `inah.

14. Pelaksanaan piawaian Syariah ini disokong oleh piawaian pengendalian operasi dalam memastikan pematuhan oleh institusi-institusi kewangan Islam. Piawaian pengendalian operasi tersebut mengambil kira prinsip amalan yang terbaik yang selaras dengan aspirasi Bank Negara Malaysia dari aspek pengurusan risiko, tadbir urus, penzahiran maklumat serta olahan perundangan dan perakaunan. Penggunaan piawaian-piawaian ini bertujuan memastikan konsistensi dan kepastian dalam amalan serta memantapkan lagi keyakinan orang ramai terhadap urus niaga kewangan Islam.

Aspek Pematuhan Syariah

15. Tunjang utama sektor kewangan Islam terletak kepada aspek pematuhan Syariah. Pematuhan kepada aspek Syariah mestilah mudah, praktikal dan kos efektif. Kegagalan untuk memelihara kepatuhan Syariah bukan sahaja akan mendedahkan sektor kewangan Islam kepada risiko kredit atau risiko perundangan semata-mata, malah boleh mengakibatkan risiko keyakinan terhadap sektor kewangan Islam. Oleh itu, penekanan harus diberi secara berterusan melalui penguatkuasaan peruntukan perundangan serta struktur tadbir urus Syariah yang berwibawa. Kombinasi set perundangan dan struktur tadbir urus Syariah ini bukan sahaja membolehkan pengawalseliaan yang lebih efektif dan terencana ke atas institusi-institusi kewangan Islam, malah ia menjadi paksi kepada usaha-usaha berterusan dalam menyediakan persekitaran perundangan yang fasilitatif bagi urus niaga kewangan Islam.

16. Di samping menggalakkan kestabilan kewangan, aspek terhadap pematuhan Syariah telah diberikan penekanan penting dan ia merupakan salah satu objektif utama dalam pengawalseliaan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia baru-baru ini. Akta ini memartabatkan lagi kehendak perundangan pengawalseliaan bagi memastikan matlamat, operasi, urusniaga dan aktiviti sistem kewangan Islam adalah sentiasa selaras dengan pematuhan Syariah. Ini termasuklah penubuhan Jawatankuasa Syariah di peringkat institusi kewangan, pengawasan oleh lembaga pengarah dalam memastikan kepatuhan Syariah, polisi dan prosedur dalaman institusi kewangan sentiasa konsisten dengan kehendak Syariah serta fungsi audit Syariah. Selain itu, Akta yang baru ini memberi kuasa kepada pihak Bank Negara untuk menguatkuasa dalam hal-hal berkaitan pematuhan Syariah.

Pengharmonian Penafsiran Syariah

17. Perbezaan dan pelbagaian pendapat terhadap hukum di kalangan ulama merupakan suatu yang lumrah dalam bidang fiqh. Walau bagaimanapun, ia tidak seharusnya menghalang usaha untuk membangunkan serta mengembangkan sektor kewangan Islam. Sebaliknya, ia harus dianggap sebagai peluang yang harus digunakan untuk memenuhi keperluan masyarakat yang beroperasi di berbagai sistem ekonomi yang mempunyai ciri-ciri tersendiri. Perbezaan pandangan juga akan menghasilkan analisis dan penilaian yang lebih mendalam. Fenomena ini juga akan menggalakkan amalan ijtihad yang sihat dalam kalangan para ulama selain fleksibiliti untuk menguji bidang baharu.

18. Oleh yang demikian, perbezaan pandangan ini seharusnya diraikan dengan memupuk persefahaman serta sikap saling menghormati antara satu sama lain. Malah, perbezaan pandangan dalam kalangan cendekiawan Syariah ini seharusnya dimanfaatkan dengan menyalurkan kesemua pandangan dan pendapat kepada medium ilmiah seperti perbincangan, perdebatan, dialog, penulisan dan kajian. Melalui penganjuran program-program ini, kita dapat menyaksikan penglibatan yang lebih aktif dalam kalangan para cendekiawan Syariah untuk dan berkongsi pandangan.

19. Pada pandangan saya, dalam mengetengahkan pendapat dalam penafsiran Syariah, jurang perbezaan pandangan yang terlalu ketara boleh menimbulkan kesan yang negatif dari sudut penguatkuasaan dan keyakinan masyarakat secara umum jika tidak ditangani dengan baik. Malah jurang perbezaan sekiranya tidak diuruskan dengan sempurna akan membataskan potensi sebenar kewangan Islam terutamanya dalam meningkatkan urus niaga yang melangkaui sempadan negara dan benua. Sehubungan itu sebagai usaha untuk mengurangkan perbezaan pandangan dalam penafsiran Syariah dalam bidang kewangan Islam, kita perlu meneliti perbezaan ini dari beberapa aspek. Izinkan saya berbicara 3 perkara dalam hal ini.

Pertama: Interaksi Sesama Cendekiawan Syariah

20. Bagi memastikan proses pertukaran pendapat dan pandangan dapat dilaksanakan dengan sempurna, para cendekiawan Syariah perlu mempunyai saluran interaksi yang berkesan. Dalam hal ini, muzakarah ini seharusnya dimanfaatkan dengan berinteraksi dan bertukar pendapat bukan sahaja sesama para cendekiawan Syariah, malah melibatkan para peserta lain seperti pengamal perundangan dan perakaunan. Ini bagi membolehkan pandangan yang berbeza terhadap sesuatu isu dapat dikemukakan dalam variasi perspektif yang lengkap dan menyeluruh.

21. Perkembangan sistem kewangan Islam masih di peringkat awal, banyak aspek Syariah belum diselesaikan. Masyarakat secara umum bergantung kepada pandangan ahli Syariah dalam menentukan kepatuhan produk yang berlandaskan kepada prinsip Islam. Oleh itu secara individu, cendekiawan Syariah perlu arif bagaimana pentingnya tanggungjawab dan pandangan yang dikeluarkan terutamanya pandangan yang diberikan secara umum jika salah kata atau tafsiran, pandangan peribadi boleh menyebabkan kekeliruan dan polemik yang tidak berkeputusan.

Kedua: Peningkatan ketelusan dalam penetapan resolusi

22. Perbezaan pandangan merupakan suatu perkara yang lumrah dalam konteks pengeluaran hukum Syariah dan seandainya penyelarasan dan pengharmonian hukum Syariah tidak dapat dicapai, semangat saling menghormati hendaklah dijadikan sandaran. Dalam hal ini, berdasarkan kajian-kajian komparatif yang dijalankan oleh ISRA berhubung dengan perbezaan pandangan antara beberapa buah negara tentang isu-isu Syariah dalam perbankan Islam, didapati bahawa purata keselarasan pandangan Syariah ialah sebanyak 58.3%, khususnya dalam isu ta`widh, musyarakah mutanaqisah, mudarabah, qard dan wa`d mulzim. Manakala purata perbezaan pandangan Syariah pula ialah sebanyak 33.3% termasuklah isu-isu `inah, kafalah bi al-ujrah dan pemakluman ibra dalam dokumentasi. Berdasarkan analisis ini, perbezaan pandangan Syariah masih dalam skala yang minoriti dan tidak seharusnya dijadikan penghalang atau polemik berterusan dalam usaha kita untuk membangunkan sektor kewangan Islam.

23. Oleh itu, penetapan hukum Syariah yang komprehensif haruslah jelas, dan didasari oleh hujah Syariah yang jitu, mantap dan praktikal, serta boleh dilaksanakan dalam keadaan semasa. Aspek ketelusan dalam setiap hukum Syariah juga amat penting bagi membolehkan para cendekiawan Syariah menghayati dan memahami sepenuhnya rasional di sebalik hukum-hukum Syariah tersebut. Kaedah ini, sekiranya diamalkan dengan penuh integriti akan dapat mengurangkan jurang perbezaan penafsiran Syariah di kalangan para cendekiawan Syariah di samping memupuk persefahaman yang harmoni. Di samping itu, hujah-hujah yang dibuat secara telus boleh digunakan oleh para penyelidik sebagai titik mula untuk menggubal pandangan yang baru.

Ketiga: Peranan para cendekiawan dalam penulisan dan penterjemahan buku-buku ilmiah

24. Sektor kewangan Islam yang terus berkembang dengan pesat, menuntut pembaharuan yang berterusan dari semasa ke semasa. Institusi ulama pada hari ini tidak lagi menggalas tanggungjawab sebagai pusat rujukan semata-mata. Malah institusi ulama telah dan akan memainkan peranan tambahan sebagai nadi pengerak menambahkan ilmu dalam bidang kewangan Islam.

25. Penglibatan dan sumbangan kepakaran oleh para cendekiawan Syariah dalam menterjemah kitab-kitab dan penulisan bahasa Arab ke dalam bahasa kebangsaan dan Inggeris dapat memperluaskan kefahaman masyarakat terhadap kewangan Islam. Usaha ini juga haruslah disokong oleh penulisan-penulisan moden dan penglibatan lebih aktif dalam media elektronik dan media cetak dari semasa ke semasa. Penerbitan penulisan kajian dan terjemahan ini bukan sahaja dapat menyediakan sumber Syariah yang berterusan, malah mengalakkan penafsiran hukum Syarak yang lebih komprehensif. Sejarah telah mengajarkan kita bahawa ‘mendemokrasikan ilmu’ telah mewibawakan tamadun sesuatu bangsa.

Penutup

26. Perubahan semasa yang amat pantas dan perkembangan teknologi yang begitu cepat semestinya akan mencorakkan transformasi sektor kewangan Islam dengan lebih ketara dan secara langsung akan mempengaruhi penentuan hukum Syarak terhadap sesuatu isu yang kontemporari. Oleh yang demikian, perubahan ini akan memerlukan kesediaan para cendekiawan Syariah untuk membuka minda demi menjana idea baharu di samping sikap saling menghormati pandangan atau rumusan antara satu sama lain. Tanggungjawab penafsiran hukum Syarak akan menjadi semakin mencabar, khususnya dalam membahaskan perkara-perkara terkini yang memerlukan perspektif baharu, tetapi pada masa yang sama adalah selaras dengan maqasid Syariah. Saya yakin inovasi akan terjana melalui atmosfera keterbukaan minda dan anjakan paradigma, yang berdasarkan kefahaman Syariah yang sempurna dan menyeluruh.

27. Walaupun keperluan perundangan kewangan Islam setiap negara adalah berbeza, namun matlamat kita adalah sama, iaitu kelestarian pembangunan sektor kewangan Islam. Diharapkan melalui muzakarah ini, para cendekiawan Syariah dapat mencetus idea baru yang dapat dipraktikkan.

28. Akhir kata, saya berharap agar muzakarah pada kali ini dapat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan. Sekian, Wabillahi taufik wal hidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

Tags: