Maklumat

 

LATAR BELAKANG

 

Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara (MCSN) merupakan persidangan tahunan yang dihadiri oleh para alim ulama, Penasihat Syariah, cendekiawan Islam dan pengamal kewangan serta pakar-pakar seantero Nusantara dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand. Pada tahun 2012, MCSN-6 telah diadakan di Brunei yang digabungkan bersama Interational Conference on Islamic Finance (ICIF), bertempat di Rizaqun International Hotel, Gadong dan telah sempurna dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

 

Matlamat utama persidangan ini ialah untuk mencetuskan jalinan persefahaman dalam kalangan para cendekiawan Nusantara melalui perbincangan dan perbahasan ilmiah dalam isu-isu kewangan Islam. Acara tahunan ini juga merupakan satu wadah bagi para cendekiawan Syariah berkongsi pendapat dan ilmu serta berbincang mengenai perkembangan semasa di dalam industri kewangan Islam.

20+ Speakers

Tokoh-tokoh Kewangan Islam di Nusantara

Kenapa anda perlu menghadiri Muzakarah13?

Dalam usaha untuk mengekalkan semangat MCSN seperti tahun-tahun sebelumnya, MCSN bagi tahun 2019 (MCSN-13) mengetengahkan tema “Sinergi Antara Institusi Kewangan Islam dan Obligasi Sosial: Isu dan Halatuju” yang merupakan kesinambungan kepada perbincangan MCSN-12 yang diadakan pada 18-19 Syawwal 1439H bersamaan 3-4 Julai 2018M, di Hotel Duangjitt Resort & Spa, Phuket, Thailand.

Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pengamal industri dan cendekiawan Syariah Nusantara dalam MCSN-12, terdapat pelbagai isu Syariah yang perlu diteliti khususnya berkaitan dengan zakat dan dana sosial dalam sistem kewangan Islam. Justeru, MCSN-13 akan memperuntukkan satu sesi khas berkaitan ‘Pelunasan hutang tertunggak pelanggan bank melalui dana zakat, dana kebajikan (charitable fund) dan dana penyucian (purification fund)’. Sesi ini akan memberi peluang kepada para ulama, cendekiawan dan pengamal kewangan Islam untuk mengupas dan membahaskan isu ini dengan lebih mendalam dan seterusnya mencapai kata sepakat dalam penetapan hukum Syarak.

Selain itu, beberapa kertas kerja yang dibentangkan dalam MCSN-12 telah membuka mata pakar-pakar Syariah, pengamal kewangan Islam serta institusi-institusi zakat serantau mengenai perincian yang jarang dibincangkan dalam pengiraan zakat di institusi kewangan Islam. Bagi mencegah kesilapan atau manipulasi dalam menentukan aset yang tertakluk kepada pengiraan zakat (zakatable asset) dan pelarasan (adjustment), pihak pengurusan perlu memperincikan item dan kriteria pelarasan. Isu ini memerlukan pengamatan dan pandangan yang tuntas bagi memastikan metodologi pengiraan zakat adalah tepat bagi memenuhi hak asnaf tanpa menzalimi pihak pembayar zakat, sekaligus mencapai matlamat Syarak (Maqasid al-Shari’ah) dalam pensyariatan zakat itu sendiri.

Di samping itu, terdapat satu sektor dalam kerangka kewangan Islam yang kurang ditekankan dalam aspek perbincangan zakat iaitu pasaran modal Islam. Seperti sedia maklum, pasaran modal Islam merupakan satu sektor penting dengan potensi pungutan zakat yang sangat besar. Oleh itu, satu analisis Syarak yang komprehensif perlu dilakukan oleh pakar-pakar kewangan Islam bagi memberikan penetapan hukum zakat terhadap instrumen-instrumen kewangan tersebut. Isu-isu seperti instrumen kewangan yang dibeli untuk didagangkan dalam jangkamasa pendek (short-term trading) atau untuk menikmati keuntungan dan dividen menerusi dagangan jangka masa panjang (long-term investment) perlu diteliti bagi menetukan kewajiban zakat ke atasnya.

MCSN-13 juga akan menampilkan individu-individu berautoriti dari negara serantau bagi membincangkan kedudukan zakat dalam pembentukan polisi fiskal. Diharapkan agar sesi-sesi perbincangan yang diadakan bakal memupuk persefahaman serantau dan menjadi pemangkin kepada industri kewangan Islam, seterusnya menyumbang ke arah pembentukan satu sistem yang holistik dan lebih berupaya memenuhi keperluan masyarakat Nusantara

X