Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-10 (MCSN-10)

Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-10 (MCSN-10)

Ke Arah Memperkasa Kewangan Islam: Isu dan Solusi.

Hotel Sama-Sama-KLIA, 1-2 Jun 2016 – Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) telah berjaya menganjurkan Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-10 (MCSN-10).

Tema muzakarah pada tahun ini adalah “Ke Arah Memperkasa Kewangan Islam: Isu dan Solusi”. MCSN-10 telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin, Pengarah Eksekutif ISRA. MCSN-10 ini berjaya menarik lebih daripada 210 perwakilan yang terdiri daripada ulama, ahli akademik, dan pengamal institusi kewangan Islam dari negara-negara di rantau ASEAN seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei dan Kemboja. Wakil-wakil Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia turut hadir. Secara keseluruhannya, enam (6) kertas kerja telah dibentangkan.

Hari pertama acara bermula dengan pembentangan resolusi MCSN-9 oleh En. Cecep Maskanul Hakim (Indonesia) sebagai wakil negara penganjur muzakarah yang lepas. Sesi 1 bermula dengan pembentangan kertas kerja bertajuk “Pembiayaan Semula, Penstrukturan Semula dan Penjadualan Semula dalam Kemudahan Pembiayaan Secara Islam: Perspektif Syariah” oleh Prof. Madya Dr Aznan Hasan (Malaysia). Beliau membentangkan mengenai konsep penstrukturan semula dan penjadualan semula kemudahan kewangan Islam. Beliau juga membentangkan kaedah semasa pembiayaan semula, penjadualan semula dan penstrukturan semula seperti yang digunakan dalam institusi kewangan Islam dari sudut pandangan Syariah. Kertas itu didiskusikan oleh  Prof Dr Ashraf Md Hashim (Malaysia), Haji Mohd Nasiruddin Mohd Kamaruddin (Malaysia) dan Ustaz Mohd Kamal Mokhtar (Singapura).

Sesi ke-2, diteruskan dengan pembentangan tiga kertas yang menumpukan pada isu Qalb al-Dayn. Pembentang untuk sesi ini ialah Encik Muhamad Taufik Ridlo (Indonesia) dengan kertas kerja bertajuk “Qalb al-Dayn dalam Kewangan Islam: Perspektif Fiqah”. Prof Madya Dr Azman Mohd Noor (Malaysia) dengan kertas kerja bertajuk “Qalb al-Dayn dalam Kewangan Islam: Analisis Syariah dari Perspektif Pelanggan Musir dan Mu’sir” dan Dr Zaharuddin Abd Rahman (Malaysia) membentangkan kertas kerja bertajuk “Qalbu al-Dayn: Aplikasi dalam Kewangan Islam dan Analisis Syariah”. Pendiskusi untuk sesi ini ialah Dr Zakariya Hama (Thailand), Hajah Hanifah Haji Jenan (Brunei) dan Ustaz Abdul Ghani Endut (Malaysia).

Hari kedua bermula dengan dua pembentangan yang memberi tumpuan kepada isu-isu syariah yang berkaitan dengan produk Ijarah. Pembentang sesi 3 ialah Prof Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim (Malaysia) membentangkan kertas kerja “Penggantian Aset (Substitution of Asset) dalam Akad Ijarah: Perspektif Fiqah dan Aplikasi dalam Instrumen Pasaran Modal Islam” dan Ustaz Mahbubi Ali (Indonesia) membentangkan kertas kerja bertajuk “Adaptasi Fiqah (Takyif Fiqhi) terhadap Bayaran Pendahuluan”. Pendiskusi untuk sesi ini ialah Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali (Malaysia), Dr Md Nurdin Ngadimon (Malaysia), Dr Akhratzaite Abdul Aziz (Malaysia) dan Encik Cecep Maskanul Hakim (Indonesia).

MCSN-10 berakhir dengan pembentangan resolusi, di mana ia telah memutuskan bahawa tiga (3) metodologi iaitu lanjutan kematangan, pemotongan nilai hutang (haircut)dan pembaharuan kontrak ijarahdengan meningkatkan jumlah sewa, boleh digunakan untuk penjadualan semula dan penstrukturan semula, sedangkan beberapa metodologi lain perlu penyelidikan lanjut. Resolusi itu juga mencadangkan penyelidikan lanjut untuk dilakukan terhadap beberapa isu yang tidak dapat dibincangkan semasa MCSN-10 ini.

1 Comment

  • ปั้มไลค์, October 13, 2019 @ 1:14 am

    Like!! I blog quite often and I genuinely thank you for your information. The article has truly peaked my interest.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

X